25hb Januari 2011 Selasa - Satu mesyuarat bagi membincangkan aktiviti MPK Tungku/Katok tahun 2011 telah diadakan bertempat di Restoran Oslam, Gadong bermula jam 7.30 malam tadi. Pengerusi mesyuarat Yang Mulia Awang Haji Ismail bin Haji Rajab, yang juga Ketua Kampong Tungku/Katok memulakan mesyuarat dengan mengimbas kembali aktiviti MPK Tungku/Katok sepanjang tahun 2010 yang berjaya dilaksanakan seperti dijadualkan, aktiviti yang tidak sempat dilaksanakan dan juga aktiviti yang tidak ada dalam rancangan tetapi berjaya dilaksanakan seperti Majlis Ibadah Korban dan Kunjungan Muhibah ke Kampong Selanyau, Sibuti, Miri.
Setelah itu, pengerusi meneruskan mesyuarat dengan membincangkan aktiviti yang telah disusun untuk tahun 2011 dan ahli-ahli yang hadir sempat juga membincangkan lain-lain perkara yang berbangkit khususnya yang melibatkan kegiatan kaum wanita seperti Tedarus dari rumah ke rumah di bulan Ramadhan dan keadaan gerai jualan kueh-mueh yang sudah agak uzur dan kedudukannya yang sudah sesuai lagi pada masa ini. Dalam pada itu, mesyuarat bersetuju untuk memperbaiki gerai berkenaan dengan membuat persedian awal seperti menyediakan pelan dan cadangan kos pembiayaannya. Pengerusi juga sempat menyentuh berkaitan pembinaan Masjid Tungku/Katok yang mana jika siap nanti, akan banyak lagi aktiviti bercorak keagamaan akan dapat diusahakan seperti kelas-kelas zikir, kursus urusan jenazah, kelas mukadam dan lain-lain lagi. Mesyuarat MPK Tungku/Katok semalam berakhir sekitar jam 10 malam.
Liga Bulanan Tenpin Bowling
16hb Januari 2011 Ahad - Perlawanan liga bulanan Tenpin Bowling sessi 2010-2011 telah dilangsungkan malam ini dengan disertai oleh 19 pemain termasuk 3 pemain wanita. Dalam perlawanan malam ini, ianya menyaksikan juara bulanan bertukar tangan lagi apabila Awg Mazini bin Haji Bolhassan memenangi High Series dengan kutipan keseluruhan 557 jatuhan pin dari tiga permainan. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Awg Haji Aji bin Haji Abdullah. Dalam pada itu, pemain-pemain yang berada dalam ranking 1 hingga 4 di liga bulanan ini, akan ditawarkan untuk bermain di kejohanan Tenpin Bowling anjuran PDSJ yang mana perlawanan tersebut dijadualkan akan diadakan dalam minggu kedua bulan Februari akan datang.
Bengkel Fotografi
16hb Januari 2011 Ahad - Beberapa orang anak kampung berpeluang untuk meningkatkan kemahiran dibidang forografi hari ini dengan mengikuti bengkel fotografi setengah hari yang diadakan dirumah Awg Baharuddin bin Haji Sawal, di Kampong Sungai Akar bermula jam 1.30 petang, anjuran Syarikat Rahnieza Photograph. Bengkel berkenaan dihasratkan bukan sahaja bagi meningkatkan kemahiran akan tetapi mempelajari juga etika dan tanggungjawab seorang juru foto yang berwibawa disamping menghasilkan foto-foto yang berkualiti tinggi. Dalam bengkel berkenaan, pasangan pengantin baru Awg Amir Hazman dan isterinya Dyg Amal Zanatulizan telah dijemput khas sebagai model bagi sessi fotografi.
Projek Penanaman Padi Kg Wasan
Gambar tanaman padi di Projek Penanaman Padi Kpg Wasan
14hb Januari 2010 Jumaat - Penglibatan anak kampung dalam projek Penanaman Padi bertempat di Kampong Wasan, Mukim Pengkalan Batu mendapat perhatian krew laman web MPK Tungku/Katok pada petang Jumaat lepas. Dalam tinjauan tersebut, anak kampung Yang Mulia Awang Haji Khamis bin Haji Akim adalah antara pengusaha yang mengusahakan beberapa lot tanah projek penanaman tersebut sejak tahun 2004 lagi. Beliau mengusahakan tiga (3) lot tanah yang mana jumlah keluasannya melebihi 7 ekar dan menanam padi Laila gred 'A'. Menurut beliau, setiap lot boleh menghasilkan 6 ke 7 tan padi, jika tiada masalah tanaman. Padi yang sudah dituai akan dijemur untuk beberapa ketika dan akan disimpan dalam guni untuk ditimbang bagi menentukan harga padi berkenaan. Padi tersebut akan dimesin oleh Jabatan Pertanian untuk menghasilkan beras dan akan dipak kedalam bekas plastik dan seterusnya menjual dan memasarkannya dengan harga subsidi. Krew laman web MPK Tungku/Katok mendapati padi yang beliau tanam telah matang dan menurut beliau, padi Laila tersebut akan dituai dalam masa terdekat. Syabas diucapkan kepada beliau kerana daya usaha beliau telah menunjuk peningkatan hasil dari tahun ke tahun. Semoga usaha beliau ini akan menjadi contoh teladan kepada anak kampung yang lain.
Pasukan Futsal Veteran MPK Tungku/Katok dan Veteran UBD
10 Januari 2010 Isnin - Pasukan futsal veteran MPK Tungku/Katok telah di jemput untuk menyertai perlawanan persahabatan futsal tiga penjuru yang telah diadakan di Dewan Serbaguna Universiti Brunei Darussalam. Perlawanan tersebut bermula jam 8 malam dan berakhir sekitar jam 10 malam. Dalam perlawanan tersebut pasukan veteran MPK Tungku/Katok telah menunjukkan permainan yang baik dengan memenangi 3 perlawanan dan kalah 1 perlawanan. Pasukan veteran MPK Tungku/Katok menang perlawanan pertama dengan 4 gol tanpa balas, tetapi kalah ditangan veteran UBD dengan 1 gol. Namun begitu veteran Tungku bangkit diperlawanan seterusnya dengan memenangi perlawanan ketiga dan keempat masing-masing dengan jaringan 3-2 dan 6-1. Pasukan veteran MPK Tungku/Katok diwakili oleh Haji Yusra (Penjaga Gol), Hamjah Hj Hujan, Zainuddin Hj Mohammad, Haji Aji Hj Abdullah, Hatnan Buang, Jamaluddin Abdullah, Kamal Hj Hassan, Amir Izzuddin Hj Tengah dan Mat Yassin Hj Abdullah. Perlawanan persahabatan futsal ini merupakan latihan bagi persediaan awal menghadapi perlawanan menentang pasukan Kampong Selanyau yang dijangka akan membuat kunjungan balas dalam masa terdekat.
Naiktaraf Jalan Tungku
Kerja-kerja menaiktaraf Jalan Tungku sedang berjalan
7 Januari 2011 Jumaat - Satu projek Jabatan Jalan Raya, JKR untuk menaiktaraf Jalan Tungku sedang berjalan dengan rancaknya bermula dari Simpang 185 hingga ke Simpang 342. Disamping jalanraya, saliran longkang dan retaining wall juga dibina disebahagian tempat, bagi mengatasi masalah banjir kilat yang selalu melanda sepanjang jalan berkenaan. Projek ini bermula sekitar bulan Oktober 2010 dan dijangka siap pada suku tahun pertama tahun 2011. Dengan siapnya naiktaraf jalanraya ini kelak, ianya akan memberi keselesaan kepada pengguna-pengguna jalan ini khususnya penduduk kampung dan pengguna lain.
Persembahan Gulintangan dari Beaufort Sabah
Kumpulan Rumpun Seni Beaufort
1 Januari 2011 Sabtu - Kumpulan Rumpun Seni Beaufort yang berasal dari Beaufort Sabah telah mempersembahkan permainan gulintangan yang begitu mempesonakan para hadirin semasa satu majlis perkahwinan anak kampung yang diadakan pada malam 1 Januari dan siang 2 Januari 2011. Kumpulan ini didatangkan khas untuk memeriahkan lagi majlis berkenaan disamping memperkenalkan seni gulintangan dari Beaufort Sabah, ke negara ini. Adalah difahamkan kumpulan ini telah beberapa kali diundang untuk membuat persembahan bukan sahaja dimajlis-majlis perkahwinan didalam negeri, akan tetapi juga di luar negara seperti di Chinese Teipie (Taiwan), Hongkong dan Jepun. Menurut salah seorang rombongan yang mengurus persembahan tersebut, kumpulan gulintangan ini tiba di Brunei Darussalam pada petang 1 Januari melalui pos kawalan Kuala Lurah. Persembahan kumpulan dari Beaufort Sabah sangat menarik dan menghiburkan semua yang hadir dengan permainan yang mantap dan bersahaja.