13 Mac 2011 Ahad - Satu kempen bagi merobohkan gerai menjual kueh mueh di Jalan Tungku diadakan pagi tadi oleh anak-anak kampung dengan diketuai oleh Yang Mulia Ketua Kampong Tungku/Katok, Awang Haji Ismail bin Haji Rajab. Gerai berkenaan agak uzur dan boleh membahayakan mereka yang berjual-jualan disana kerana sebahagian tiang gerai tersebut hampir tumbang disamping atap yang kurang stabil dan bocor. Mengikut Tuan Haji Hassan bin Haji Apong, Pengerusi Jawatankuasa Keugamaan MPK Tungku/Katok, gerai berkenaan akan diganti dengan gerai baru yang akan didirikan sedikit masa lagi, setelah tapak baru yang berdekatan selesai diratakan. Gerai baru tersebut akan dibina menggunakan simen dan beratapkan spandex, dan ianya lebih kukuh disamping kemudahan air dan api letrik. Perbelanjaan untuk membina gerai baru tersebut menelan belanja lebih kurang $3000 dan ianya adalah sumbangan dan derma dari penduduk Kampong Tungku/Katok sendiri.
Mesyuarat Badminton MPK Tungku/Katok
8 Mac 2011 Selasa - Satu mesyuarat membincangkan bagi mengadakan kejohanan badminton MPK Tungku/katok telah diadakan malam tadi bertempat dirumah Yang Mulia Awang Haji Aji bin Haji Abdullah, di Simpang 217-16 Kg Katok. Didalam mesyuarat tersebut, ahli-ahli yang terdiri dari anak-anak kampung telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan kejohanan tersebut dalam bulan April 2011 ini di Dewan SR Kampong Tungku, dengan 6 kategori perlawanan. Kategori-kategori perlawanan yang dipersetujui ialah :-
1. Perseorangan Lelaki Terbuka, 2. Bergu Lelaki Terbuka, 3. Bergu Veteran 45 Tahun Keatas Seeded+Unseeded 4. Bergu Wanita Seeded+Unseeded 5. Bergu Campuran, dan 6. Bergu Lelaki Novice + Veteran 45 Tahun keatas.
Ahli mesyuarat juga bersetuju untuk menghadkan penyertaan pemain-pemain untuk bermain tidak lebih dari 3 kategori perlawanan sahaja bagi seorang pemain. Kejohanan badminton ini adalah terbuka kepada semua penduduk Kampong Tungku/Katok, guru-guru SR Tungku dan pemain-pemain yang dijemput sahaja.
Liga Bulanan Tenpin Bowling
Juara bulan Mac, YM Awg Alias Hj Idris
6 Mac 2011 Ahad - Perlawanan liga bulanan tenpin bowling MPK Tungku/Katok bersambung lagi hari ini dengan seramai 13 orang mengambil bahagian. Turut menyumbangkan hadiah sampingan ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Liman yang berkesudian menyediakan hadiah bagi tempat pertama hingga ketiga bagi ketiga-tiga game yang dijalankan. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Yang Mulia Awg Haji Zakaria bin Haji Liman bagi game 1 dan 2 manakala bagi game ke 3 dan Johan Bulanan disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mat Yassin bin Haji Abdullah. Johan Bulanan bagi bulan Mac disandang oleh Yang Mulia Awang Alias bin Haji Idris.