20 Februari 2011 Ahad - Angin kencang diikuti oleh hujan yang melanda sekitar Kampong Tungku/Katok kebelakangan ini telah mengakibatkan sepohon pokok tua tumbang di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kandis, Kampong Katok pada hari Jumaat sebelah malam dan dilaporkan melalui facebook Majlis Perundingan Kampong Tungku/Katok oleh anak kampung dihari berikutnya. Berikutan dengan laporan tersebut, anak-anak kampung telah dimaklumkan untuk hadir bagi memotong, membuang dan membersihkan pokok tersebut beramai-ramai. Antara yang hadir bagi membersihkan kawasan perkuburan tersebut adalah Yang Mulia Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin, Penghulu Mukim Gadong A, Yang Mulia Awang Haji Ismail bin Haji Rajab, Ketua Kampong Tungku/Katok, ahli-ahli tertinggi Majlis Perundingan Kampong Tungku/Katok dan anak-anak kampung yang perihatin. Kempen pembersihan pokok tersebut hanya mengambil masa yang singkat kerana ramainya anak-anak kampung yang ikutserta. Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh mereka yang hadir sangat-sangat membanggakan dan mudah2an ianya berlanjutan dimasa-masa akan datang. Ikuti video kempen membersihkan pokok tumbang disini.
Liga Bulanan Tenpin Bowling
6 Februari 2011 Ahad - Liga bulanan Tenpin Bowling MPK Tungku/Katok diteruskan lagi malam tadi. Seramai 16 pemain termasuk 3 pemain wanita turut serta dalam perlawanan tersebut yang mana turut diperkenalkan adalah moonlight bowling pada game ke 3. Moonlight bowling adalah permainan tanpa lampu kecuali di kawasan pin dan biasanya jumlah pin yang perlu dijatuhkan hanyalah 9 sahaja bagi strike. Dalam perlawanan malam tadi, Awg Norhazime bin Hj Md Nor berjaya menjuarai liga bulanan bagi bulan Februari 2011 dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 581. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Awg Ahmad Khairi bin Haji Hassan. Keputusan penuh boleh diperolehi melalui website : mpktkbowlingleague.weebly.com
Satu Kampung Satu Produk - Gaharu
6hb Februari 2011 Ahad - Hasrat beberapa anak kampung membuat pelaburan pokok gaharu dan menjadikan ianya produk bagi MPK Tungku/Katok dalam langkah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mempromosikan 'Satu Produk Satu Kampung' mungkin akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi. Keyakinan ini terbit bila melihat dari kesungguhan anak-anak kampung membeli dan memelihara bibit-bibit gaharu dan menyemainya disekitar rumah kediaman mereka. Anak-anak kampung ini begitu berwawasan walaupun hasilnya hanya dapat diperolehi setelah 6 hingga 7 tahun sesudah pokok tersebut sesuai untuk disuntik dengan enzim bagi menghasilkan gaharu gred tinggi yang sangat bernilai lebih-lebih lagi dirantau sebelah sini. Menurut salah seorang yang berpengalaman dalam mencari pokok gaharu ini, adalah dipastikan yang pokok gaharu banyak disekitar hutan Anduki, Seria. Bagaimanapun, perlu jua diambil ingatan bahawa pengambilan pokok gaharu ini ada kalanya memerlukan permit dari pihak berkuasa, khususnya Jabatan Perhutanan. Krew website MPK Tungku/Katok akan menerbitkan satu rencana pendek mengenai kegiatan pelaburan kayu gaharu ini dalam masa terdekat.